QURBAN NIAT KONGSI REZEKI BUKTI SIFAT KETAKWAAN INSAN

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
2011/11/07

AIDILADHA atau hari raya korban mempunyai banyak manfaat dengan pahala berlipat kali ganda kepada seluruh umat Islam. Bukan sekadar merayakannya dengan keinsafan dan kebahagiaan, Aidiladha turut menyediakan peluang umat Muhammad menunaikan ibadat korban.

Anas melalui riwayat oleh Bukhari dan Muslim katanya: “Rasulullah telah mengorbankan dua ekor kambing berbulu hitam dan putih. Aku melihat Baginda meletakkan kedua-dua kakinya di atas leher kedua kambing itu lalu membaca Basmalah dan bertakbir. Kemudian Baginda menyembelih keduanya dengan tangan Baginda sendiri.”

Ada beberapa gambaran dan tamsil yang dilakukan Rasulullah SAW iaitu meletakkan kedua kaki kambing di kedua-dua tengkuknya untuk mengelak kambing itu meronta. Lebih afdal jika orang yang melakukan ibadat korban itu menyembelih sendiri binatang akan dikorbankan.

Keutamaan ibadat korban terletak pada niat iaitu ikhlas untuk mendapatkan keredaan Allah semata-mata dan sebagai bukti keimanan serta ketakwaan kerana menyembelih haiwan korban sekadar menunjuk-nunjuk kemampuan diri adalah perbuatan sia-sia.

Tujuan bersedekah daging korban juga perlu jelas kerana membantu golongan kurang berkemampuan berkongsi rezeki yang diperoleh hasil kurniaan Allah. Sesungguhnya Allah akan memberikan ganjaran pahala kepada orang yang melakukan korban dan bersedekah dagingnya.

Pada masa sama, matlamat korban juga perlu terpelihara daripada unsur negatif kerana kisah korban dilakukan Nabi Ibrahim dan anakanda baginda, Nabi Ismail bukan sekadar kisah sejarah yang enak diceritakan atau didengar.

Pengorbanan mereka sepatutnya meninggalkan kesan mendalam kepada umat Islam kerana dalam suasana hari ini, sukar rasanya untuk seseorang itu berkorban melepaskan insan atau perkara yang disayangi, sedangkan ganjarannya tidak nampak oleh mata kasar.

Nabi Ibrahim bukan saja berkorban hati dan perasaannya, bahkan terpaksa melakukan perkara berat iaitu menyembelih anaknya sendiri kerana mentaati perintah Allah. Namun, disebabkan keyakinan bahawa apa yang datang daripada Allah adalah kebenaran, maka itulah yang dilakukan.

Nabi Ismail sendiri sebagai anak yang patuh kepada Allah dan bapanya dengan reda merelakan dirinya disembelih. Adakah anak hari ini yang bersedia menyokong bapanya memenuhi tuntutan agama jika terpaksa mengorbankan diri sendiri.

Tambahan pula, hasilnya tidak diketahui kerana jika kesan daripada pengorbanan itu memberi keuntungan yang dapat dilihat atau dirasai, agaknya semua kita berebut-rebut untuk melakukan pengorbanan.

Apa yang pasti, setiap pengorbanan akan ada ganjarannya dengan syarat dilaksanakan seikhlas hati berbekalkan keyakinan, setiap amalan baik akan dibalas baik.

Setiap apa juga yang dilakukan dalam kehidupan seharian, semuanya menuntut kekuatan dan pengorbanan yang tinggi. Disebabkan itu, ada bersetuju melakukan sesuatu tetapi apabila tiba saatnya, hati tidak bersedia berkorban.

Sebagai umat Islam, kita juga perlu berhati-hati dalam melakukan pengorbanan. Jangan berkorban untuk perkara menyalahi syariat agama kerana perbuatan itu hanya menjurus kita kepada kemurkaan Allah SWT.

Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa tetapi matlamatnya perlu jelas untuk meningkatkan syiar Islam dan mengharapkan kasih sayang Allah. Barulah pengorbanan itu menjadikan kita hamba Allah yang untung.

Sumber asal

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: