HUKUM MELAKSANAKAN QURBAN

Terdapat dua jenis ibadah qurban iaitu qurban sunat dan qurban nazar. Qurban sunat bermakna menyembelih binatang ternakan yang tertentu dengan niat taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah subhanahu wata‘ala pada Hari Raya ‘Aidiladha atau Hari Raya Qurban. Manakala qurban nazar pula ialah apabila seseorang itu mengatakan bahawa jika dia mendapat apa yang dihajatinya dia akan menyembelih haiwan qurban, maka wajiblah ke atasnya menunaikan nazarnya itu. Bahkan Imam Nawawi menyatakan bahawa apabila telah terlewat hari yang ditentukan untuk penyembelihan qurban dan ternyata saudara terlupa untuk menyembelih qurban yang dinazarkan itu, maka wajiblah bagi orang yang bernazar tadi menyembelihnya ketika dia teringat, walaupun telah berlalu waktunya.

Terdapat juga yang dinamakan qurban wajib, yang mana apabila seseorang membeli seekor kambing atau lembu atau unta dengan mengatakan bahawa ‘haiwan ini adalah untuk sembelihan qurban’, atau ‘aku beli haiwan ini untuk qurban’, maka adalah wajib beliau menyembelih haiwan tersebut sebagai qurban pada Hari Raya ‘Aidiladha.

Menyembelih haiwan qurban pada Hari Raya ‘Aidiladha dianjurkan ke atas seluruh umat Islam, akan tetapi tuntutan sebenar ialah kepada yang mampu, sehingga Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam memberi amaran dalam beberapa buah hadith kepada mereka yang tidak menunaikan ibadah qurban, antara hadith-hadith tersebut bermaksud, “Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu), tetapi tidak berqurban, janganlah ia mendekati tempat solat kami.”

Hukum menyembelih haiwan qurban pada Hari Raya ‘Aidiladha atau Hari Raya Qurban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunnah mu’akkadah dan meninggalkannya adalah makruh.

Allah subhanahu wata‘ala berfirman dalam Surah al-Kautsar, ayat 2 yang bermaksud, “Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah.”

Mengikut tafsiran ulama maksud solat atau sembahyang pada ayat ini ialah solat ‘Aidiladha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berqurban.

Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut, “Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga qurban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”.

Qurban yang diamalkan oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun diniatkan hanya kerana Allah subhanahu wata‘ala dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wata‘ala di samping mendapat ganjaran lain yang telah Allah subhanahu wata‘ala janjikan. Oleh itu, mana-mana qurban atau penyembelihan yang diniatkan kepada selain Allah subhanahu wata‘ala seperti qurban yang dilakukan untuk memuja sesuatu, atau untuk tujuan ilmu hitam, memuja syaitan dan sebagainya, serta tidak bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wata‘ala dan ganjaran yang disediakan, maka ia adalah dilarang oleh Islam.

Kita dibenarkan berkongsi sehingga tujuh orang atau tujuh bahagian bagi seekor lembu atau unta, ini bertepatan dengan sebuah hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang berbunyi; “Pada musim haji, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah menyuruh kami berkongsi 7 orang pada seekor unta dan seekor lembu.”

-Riwayat Muslim

Dalam sebuah hadith lain dari al-Barqani, “Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah bersabda kepada kami: “Berkongsilah kamu pada seekor unta dan lembu, untuk 7 orang seekor.””

-Riwayat Bukhari dan Muslim

Berkongsi seekor kambing bagi mewakili qurban satu keluarga adalah menjadi amalan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan para sahabat. Sebuah hadith Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam berbunyi; “Pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, orang berkorban dengan seekor domba untuknya dan untuk keluarga seisi rumahnya. Mereka memakan dan mereka berikan orang lain sampai manusia merasa senang, sehingga mereka menjadi seperti yang engkau lihat.”

-Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi

Ulama’ besar Asy Syaukani dalam kitabnya Al Raudlah 2:210, menyatakan, “Adanya perintah berqurban, menunjukkan kepada wajibnya. Perintah itu ditujukan atas tuan rumah. Udhiyah (qurban) itu, jika dikatakan wajib, maka bagi isi satu rumah diwajibkan atas kepala keluarga, atau atas orang yang mengepalainya, dan bagi orang yang tidak berkeluarga, atau belum mempunyai rumah tangga yang ia urusi, maka atas dirinya.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: